Jenis karipap Karipap

Karipap daging

Karipap daging merupakan karipap berinti daging daripada lembu dengan kentang. Karipap jenis ini merupakan inti karipap yang paling banyak dibuat di Malaysia. Pastri atau kulit karipap ini sama seperti karipap kentang. Inti kentang berlada hitam lebih enak dibuat dengan daging.

Karipap ayam

Inti karipap ini ialah daging ayam bersama ubi kentang. Penggunaan bahan perasa serbuk kari lebih bersesuaian dengan daging ayam. Ia juga merupakan pilihan karipap yang sering dimakan sebagai sarapan mahupun di kala waktu petang.

Temosa/Karipap ikan

Temosa dengan sambal ikan.

Temosa atau karipap ikan dibuat sama seperti karipap lain, tetapi ia mempunyai inti asas yang diperbuat daripada ikan yang digoreng kering bersama bawang dan isi kelapa muda. Rasanya lebih berlemak dan tidak pedas.Terkenal di pantai timur, Pahang, Terengganu & Kelantan.

Karipap sardin

Karipap sardin merupakan karipap berinti ikan sardin dalam tin yang kerap digunakan sebagai inti karipap ini di Malaysia. Pastri atau kulit karipap ini sama seperti karipap kentang mahupun karipap daging. Bagi membolehkan karipap jenis ini dicam atau dikenal pasti, kebanyakan karipap sardin dibuat berbentuk jenis panjang ataupun bulat yang berlainan dengan karipap biasa yang berbentuk separuh bulatan.

Karipap pusing

Rupa karipap pusing.

Karipap pusing yang berinti merujuk kepada kulit yang digunakan bagi menghasilkan karipap itu. Kulit karipap ini digelek berlapis-lapis dan akan menghasilkan corak berlapis-lapis yang cantik dan lebih garing. Kulit karipap ini juga lebih garing berbanding karipap yang lain. Intinya daripada keledek atau kentang dan bahan perasa daripada serbuk kari.

Karipap mini

Karipap ini bersaiz lebih kecil daripada karipap yang lain. Kebanyakan isi karipap ini diisi dengan serunding ikan. Karipap mini juga antara pilihan kuih-muih yang disediakan kepada tetamu pada musim perayaan masyarakat Islam di Malaysia iaitu Hari Raya.